Saturday, February 11, 2012

Pengakhiran Yang Baik

Assalamualaikum..


Buka laptop. Nampak gambar seseorang sedang memandang tepat sambil muka tersenyum bahagia. Gambar seseorang yang amat saya rindui. Gambar seseorang yang banyak berjasa dalam membentuk saya menjadi seseorang. Masih tersenyum bahagia. Terasa seperti ada dan berada di sebelah. Sedang memberikan sokongan yang padu. Tangan terasa bagai disentuh. Terasa semangat disalur selaju mungkin. 

Sekelip mata, rasa itu perlahan-lahan pergi dan saya kembali ke alam realiti. Percaya. Bahawasanya yang telah pergi takkan pernah kembali. Pada saya, dia masih hidup. Masih ada untuk melengkapi hari-hari saya di dunia ini. Masih sedia menyediakan telinga untuk mendengar luahan hati saya. Masih ada untuk tersenyum dan melihat saya menangis manja apabila kecewa. Aaah, itu cerita dulu. Sekarang saya perlu berdikari. Dia telah tiada, membawa pergi semua semangat saya yang layu dan meninggalkan semangatnya yang kuat untuk saya terus bertahan.

Masih segar. Petang 1 November 2011. Petang yang tenang dan sunyi serta aman. Hanya kedengaran alunan ayat- ayat al -Quran melewati petang Asar itu. Pelawat makin memenuhi ruang legar hospital. Tepat jam 5 petang, mereka dibenarkan masuk. Bunyi bising semakin kuat. Namun ia tenggelam. Bunyi alunan ayat-ayat suci kedengaran semakin kuat beralun. Bermula Al-Fatihah, ayatul Mulk dan surah-surah lain makin kuat kedengaran di speaker masjid yang berdekatan.

Kelihatan ramai doktor dan jururawat berkejaran ke sebuah katil. Saya hanya mampu melihat. Redha dengan apa yang bakal terjadi. Diri harus diperkuatkan. Kami yang menyetujui pembedahan itu. Maka diri harus disiap sediakan. Dibibir pelbagai surah dibaca untuk dihadiahkan dan juga sebagai penguat diri.

Saya tidak mampu menahan tangis. Keluar dari tirai langsir. Diluar bunyi bising ibarat berada di pasar. Saya serabut. Kembali masuk ke dalam layar langsir. Sunyi sepi, dan tenang. Hanya mesin jangka hayat sahaja yang kedengaran. Saya kepelikkan. Berbisik pada adik serta seorang kakak nurse yang berada di sebelah untuk menguatkan semangat saya. Mereka membuka langsir dan bunyi bising itu kedengaran. Bila langsir ditutup, bunyi bising itu tidak kedengaran langsung. Sunyi dan hanya kedengaran bunyi bacaan yasin dan ayat-ayat suci yang dibaca oleh keluarga kami secara perlahan. 

Tepat bunyi azan maghrib kedengaran, nyawa seorang hamba Allah telah dicabut. Dia dijemput dalam keadaan yang agak baik. Semua yang berada di dalam lingkungan langsir tersebut seakan tidak sedar bahawa hamba Allah itu telah pergi untuk selama-lamanya, walaupun bunyi mesin jangka hayat telah kedengaran nyaring. Dengan langkah longlai saya memanggil doktor yang bertugas. Menyatakan bahawa si dia, kekasih hati telah tiada. Namun, doktor tersebut seakan tidak percaya. Lama dia memerhati jenazah tersebut. Untuk mengesahkan bahawa hamba Allah itu telah tiada lagi di muka bumi ini juga dia tidak mampu untuk melakukan. 

Akhirnya si dia telah disahkan meninggal. Itupun selepas adik saya menasihatkan supaya dis ahkan sahaja. Kami terima. Saya sedikit lembik. Hanya sekejap. Terus saya tersedar. Bahawa saya tidak boleh lemah. Ada tanggungjawab yang perlu saya laksanakan. Ciuman bertalu-talu saya hadiahkan. Air mata saya jauhkan. Saya perlu kuat walaupun pada masa itu seakan terasa dunia begitu mengejek saya. Sanak -saudara memeluk saya dengan kuat. Mungkin tahu saya masih lemah. 2minggu menjaga arwah tanpa pulang ke rumah, seakan belum cukup untuk menjadikan saya memgang gelaran anak yang solehah buat arwah. Permulaan untuk pengorbanan yang tidak sempat sampai ke penghujung. Tapi saya redha. Ada hikmah disebalik itu. Saya pasti.

Sepanjang proses pengebumian arwah, masih terdapat beberapa perkara yang menakjubkan. Ramai yang mengaguminya. Walaupun hari itu matahari bersinar tenang, tidak terlalu panas disertakan sekali dengan angin yang begitu selesa untuk semua. Cukup selesa. Di kuburan, ramai yang memuji kebesaran Ilahi. Kuburan tersebut terasa sejuk. Tanah sedikit lembap, sejuk dan tenang. Pada malam harinya, terlalu ramai yang datang untuk tahlil. Makanan senantiasa tidak cukup. Saya kagum. Bangga juga ada. Kerana terpilih untuk melihat pengakhiran yang baik ini. Tapi saya tidak pasti benarkan ia pengakhiran yang baik. Bagi saya dan keluarga ia adalah pengakhiran yang baik. Bagi mereka, kenalan yang terdekat juga begitu. 

Arwah seorang yang baik ketika hidupnya. Sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan pastikan dibantu. Walaupun ada yang menggelar arwah sebagai mendukung biawak hidup tapi arwah pegang pada janji Ilahi. Ganjaran Ilahi itu lebih ternilai harganya berbanding manusiawi..


"Ya Allah, semoga Kau tempatkan arwah bersama para syahid dan para anbia"

"Ya Allah, sesungguhnya Kau mengetahui apa yang tidak kami ketahui:

"Ya Allah, jika Kau kata maka jadilah, maka jadilah ia"

Maha suci Engkau Ya Allah, yang menghidupkan yang mati, dan mematikan yang hidup. Hamba berserah diri padaMU..Dunia akhirat hamba buatMU Ya Allah..

~~Al-Fatihah abah..~~

Kisah besar untuk perkongsian bersama. Bukan untuk menunjuk..



1 comments:

Anonymous said...

alfatihah uat arwah abah kamu.

Thanks!!

'Allah!
Ana fi duaa' Anta fi jawaab. Lau Anta ma fi jawaab, ana fi musykillah.'

( Ya Allah! Aku punya permohonan kpd-Mu dan Engkau-lah yg menerima doaku.Jika Engkau x memperkenankan doaku nescaya aku akan ditimpa masalah).. Amin..