Tuesday, September 6, 2011

Mahar Mana Yang Akan ku Pilih.

Assalamualaikum..


Dalam hidup ini, kita takkan pernah sesekali pun terlepas daripada membuat pilihan. Baik atau buruk sesuatu pilihan itu, ia adalah buaian yang perlu digalas pada bahu kita sendiri. Musim sekarang, musim bercerita tentang jodoh. Ada yang bercerita stail Islamik, malah ada juga bercerita versi muda -mudi duniawi. Jadi mana pilihan yang terbaik, itulah yang bakal kita galas.

Saya punya dua pilihan. Mungkin lebih jika betul. Terkadang pening juga kepala dalam merungkai simpulan yang tidaklah sekemas manapun, cuma memerlukan ketabahan dan kesabaran membuka ikatan ketatnya. Apabila umur menjejak umur pertengahan dua puluhan, maka kita takkan pernah lari daripada memikirkan tentang jodoh. Pada tahap inilah saham kita umumnya perempuan mula laku. Malahan pada tahap inilah tahap ingin memiliki seseorang sebagai teman hidup mula merebak dalam diri virus-virusnya.

Saya meminati seseorang. Untuk masa yang lama. Saya masih menunggu. Walau suatu hari nanti, masih tidak pasti diakah yang bakal saya miliki. Mungkin orang lain yang akan setia berada disisi. Buat saat ini dan ketika waktu ini masih berdetik, saya masih mengkagumi dan meminatinya. Perasaan yang agak lama disimpan. InsyaAllah. Harap saya mampu bertahan.


Dalam diam, tidak saya sangka, ada yang sedang meliarkan mata memerhatikan saya dari jarak yang dekat. Bukan hendak perasan. Cuma lagaknya serta nadanya membuatkan saya terasa ingin menjauhkan diri. Lunak suaranya membuatkan saya berfikir, adakah saya sedang mempermainkan hati seorang bernama lelaki? Ya Allah, hamba minta dijauhkan daripada kesilapan dosa noda ini. Tidak mahu saya menjadi seorang perempuan yang dalam hidupnya pernah mengecewakan lelaki yang bukan pemilik maharnya yang hakiki.

Punya banyak pilihan, namun masih menanti pada jawapan yang satu. Kerana hati ini telah terpaut pada tingkah laku dan perikata yang pernah dilihat pada pandangan mata beberapa tahun dahulu, serta pujian yang selalu orang berikan padanya. Dulu pernah diri ini melarikan diri, namun Allah S.W.T. menemukan kami kembali sebagai teman dan sahabat.

Namun, dalam harapan, masih sedar ada tanggungjawab yang menanti. Terlalu banyak yang hendak digalas. Masih punya cita-cita yang perlu dicapai. Punya impian yang hendak dikilaukan. Punya amanah dalam meniti hidup sebagai insan. Andai suatu masa impian terlaksana, ALHAMDULILLAH, syukur, nikmat Allah S.W.T. menerangi di jalan yang diredhaiNya. Andai tidak, ALHAMDULILLAH. Ada yang lebih baik mungkin menanti.

Pada hati yang telah terluka, maaf. Satu ungkapan yang biasa didengari. Saya cuma insan biasa. Menyerah perjalanan takdir pada tangan Yang Maha Kuasa. Bukan meminta lebih atau mengejar sesuatu yang lebih bersifat dunia. Tapi, hati ini lebih kuat mengatakan dia mahar yang harus saya pilih. Maaf pada salah faham yang terjadi. Bukan itu yang saya mahukan. Ia sesuatu yang singkat.

Masa bergerak dengan pantas. Kita takkan pernah tahu apa yang sedang menanti dihadapan. Semalam sudah melabuhkan tirai dengan pelbagai kisah suka dan duka serta ketakutan dan penyesalan. Hari ini masih bersisa untuk mengejar amalan dan mengukir cebisan kenangan. Hari esok, hanya menjadi suatu rancangan.Masih menjadi rahsia. Ia ibarat sebuah impian yang kita karang untuk dijadikan sebagai satu penceritaan yang bakal menghiasi lipatan kenangan.



~~~~~~~~~~~~~~~~^^^^^^^^~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hati rindu padanya,
Tapi lebih mencintai pada Sang Pencipta Allah S.W.T.

~~~~~~~~~~~~~~~~^^^^^^^^^~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Diri ini dambakan berada disisinya,
Namun sedar, Allah S.W.T. lebih mengetahui apa yang terbaik.

~~~~~~~~~~~~~~~~^^^^^^^^~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mulut berbicara indah memohon doa untuk terus dengannya,
Namun hati dan iman lebih mendambakan cinta Allah .S.W.T.

~~~~~~~~~~~~~~^^^^^^^^~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JADI MAHAR MANA YANG AKAN KU PILIH??
SAYA SERAHKAN PADA ILAHI,
KERANA DIA LEBIH MENGETAHUI,
APA YANG TERSEMBUNYI.



Wallahualam Taala.

0 comments:

Thanks!!

'Allah!
Ana fi duaa' Anta fi jawaab. Lau Anta ma fi jawaab, ana fi musykillah.'

( Ya Allah! Aku punya permohonan kpd-Mu dan Engkau-lah yg menerima doaku.Jika Engkau x memperkenankan doaku nescaya aku akan ditimpa masalah).. Amin..